LAWATAN MENGEJUT YANG BERHORMAT MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA) KE MAHKAMAH SYARIAH DAERAH KENINGAU

13 SEPTEMBER 2023, Rabu, Mahkamah Syariah Daerah Keningau telah menerima kunjungan YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada jam 4.15 petang. Kunjungan ini diadakan secara tidak rasmi oleh YB Menteri yang berada di Keningau untuk menghadiri Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembangunan Fasa Ketiga Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada hari yang sama. Lawatan YB Menteri ke Mahkamah Syariah Daerah Keningau ini merupakan lawatan yang kedua selepas lawatan kali pertama pada 8 November 2022 dalam siri jelajah Lawatan Kerja Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ke Mahkamah-mahkamah Syariah Daerah di Negeri Sabah.

WhatsApp Image 2023 09 14 at 09.41.33

 

Kunjungan YB Menteri telah disambut mesra oleh Tuan Mohd Yasser bin Saraffudin, Ketua Pejabat / Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Keningau, serta pegawai dan kakitangan. YB Menteri juga telah berkesempatan melawat ruangan pejabat pentadbiran dan dewan perbicaraan Mahkamah dan melihat keadaan fasiliti sedia ada untuk kegunaan pelanggan dan kakitangan. Dalam pada masa yang sama, Tuan Mohd Yasser turut memberikan penerangan ringkas kepada YB Menteri berkenaan usaha jabatan berkenaan pembangunan dan penambahbaikan prasarana di Mahkamah Syariah Keningau. Kunjungan yang diadakan sekitar 10 minit tersebut secara tidak langsung memberikan kenangan manis disamping mengeratkan lagi silaturahim antara YB Menteri dengan pegawai dan kakitangan Mahkamah Syariah Daerah Keningau. Sesi lawatan YB Menteri diakhiri dengan dengan sesi bergambar bersama pegawai dan kakitangan di dewan perbicaraan Mahkamah.

WhatsApp Image 2023 09 14 at 09.41.35