Jabatan Peguam Negara telah memberi kebenaran bagi hukuman maksimum '356' undang-undang syariah sedia ada dipinda untuk hukuman lebih berat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
    
Beliau berkata langkah itu akan membolehkan kuasa Mahkamah Syariah dipertingkat secara lebih holistik. 
    
"Dengan ini, ruang lingkup hukuman sedia ada di Mahkamah Syariah dapat ditingkatkan bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan tidak lagi terikat kepada '356' iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.
    
"Jika perkara ini dapat direalisasi, ia bakal membawa rahmat kepada umat Islam dan Mahkamah Syariah menjadi lebih baik pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2013 di ibunegara hari ini.
    
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha memberitahu Bernama, perkara itu akan dibincangkan lebih terperinci dengan pihak berkenaan.

"JPN memberi kebenaran berhubung perkara ini bulan lepas (Oktober)," katanya.
    
Berikutan itu, katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syariah Sivil Malaysia yang dipengerusikan Penasihat Undang-undang JPN Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman akan diadakan untuk menyelaras hukuman syariah di seluruh negara.
    
Beliau berkata hukuman lebih berat bagi kesalahan syariah dapat menyedarkan umat Islam supaya mengelak daripada melakukan kesalahan.

- Bernama