Kita maklum mengenai kewujudan mahkamah syariah dalam sistem perundangan Malaysia. Walaupun mahkamah syariah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri, kewujudannya diasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, apa yang perlu disebut di sini ialah, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Parlimen untuk menentukan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan kesalahan. Dalam bahasa mudah, Parlimen diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk meletakkan bidang kuasa tertentu kepada mahkamah syariah dalam perkara kesalahan.
Berbekalkan kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan ini, pada 1965, Parlimen meluluskan Muslim Court (Criminal Jurisdiction) Act 1965 atau Akta 1965. Akta ini secara ringkasnya bertujuan memberi dan menyeragam bidang kuasa berkaitan hukuman kepada mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang negeri dalam hal berkaitan undang-undang Islam.


Menurut Akta 1965, hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah ialah 6 bulan penjara atau denda RM1,000 atau gabungan kedua-duanya. Pada 1984, Mahkamah Islam (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 (Akta A612 ) diperkenalkan untuk meminda Akta 1965 dan seterusnya menambah jumlah hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Dipinda selepas 20 tahun

Menurut kuasa Akta Pindaan ini, bidang kuasa mahkamah syariah mengenai hukuman dinaikkan kepada penjara maksimum 3 tahun atau denda RM5,000 atau 6 sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman (lebih dikenali sebagai 3;5;6). Pada 1988, Akta 1965 disemak semula dan dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Ia dipanjangkannya ke semua negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak pada 1989 melalui Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Peluasan).

Jika kita perhatikan hukuman yang dikenakan mahkamah syariah hanya dipinda selepas 20 tahun. Akta diperkenalkan pada 1965 dan dipinda pada 1984. Dari 1984 sehingga hari ini, sudah hampir 30 tahun, kita baru saja mendengar persetujuan Pejabat Peguam Negara mengenai cadangan meningkatkan jumlah hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah.
Sememangnya berita ini sudah lama dinantikan oleh mereka yang faham akan kepentingan dan keberkesanan hukuman dan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah. Saya percaya, persetujuan Pejabat Peguam Negara itu akan mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Kenapa saya berkata ia adalah kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia? Kita semua tahu bahawa ada banyak kesalahan berkaitan kemoralan terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, tetapi tidak ada dalam undang-undang sivil lain seperti Kanun Keseksaan.

Ketika ini, negara kita bergelut dengan masalah sosial yang membabitkan kemoralan. Kita tahu negara berbelanja ratusan juta ringgit untuk menangani masalah sosial berkaitan kemoralan yang tidak boleh dihukum oleh mahkamah sivil, tetapi ada kesalahan yang boleh dibicara dan seterusnya dihukum oleh mahkamah syariah.

Pendekatan pencegahan

Berkaitan hal ini, kita perlu jelas dengan prinsip undang-undang jenayah yang mana hukuman adalah satu daripada strategi atau mekanisme pencegahan, sama ada secara khusus atau am. Pendekatan pencegahan adalah antara prinsip dalam undang-undang jenayah syariah. Undang-undang Islam mempunyai elemen pencegahan, bukan saja elemen penghukuman.

Prinsip ini disepakati oleh alim ulama perundangan Islam. Konsep ‘cegah sebelum parah’ diberi perhatian sepenuhnya dalam prinsip jenayah syariah. Oleh yang demikian, undang-undang yang menjenayahkan perbuatan bertentangan dengan kemoralan ini boleh menjadi penyekat kepada masalah sosial yang sedang dihadapi negara.

Saya tidak bermaksud menyatakan bahawa semua masalah sosial akan selesai dengan peningkatan bidang kuasa mahkamah syariah berkaitan hukuman, tetapi jumlah hukuman baru yang akan dikenakan oleh mahkamah syariah hendaklah satu jumlah yang sekurang-kurangnya boleh menyerlahkan kewibawaan undang-undang Islam dalam membendung masalah sosial.

Selain itu, sekiranya undang-undang yang akan digubal nanti memberikan kuasa yang lebih besar, maka hakim di mahkamah syariah hendaklah menggunakan kuasa itu sebaik mungkin dan tidak segan silu melaksanakannya. Kita tidak mahu hukuman itu hanya menjadi perhiasan mahkamah syariah.