Demikian kata Nik Raina Nik Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah selepas Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini melepas tanpa membebaskan Pengurus Bahagian Latihan Kedai Buku Borders itu daripada tuduhan mengedar buku yang bertentangan dengan undang-undang Islam, tiga tahun lalu.

Nik Raina yang hadir ke mahkamah dengan ditemani Ketua Pegawai Operasi Berjaya Books Sdn. Bhd., Yau Su Peng sebagai tanda sokongan, dilihat menitiskan air mata sebaik sahaja mendengar keputusan yang dibuat oleh Hakim Syarie, Mohd. Amran Mat Zain.

Mohd. Amran memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pertuduhan bagi Nik Raina masih berada di tahap yang boleh dipertikaikan dan pertimbangan wajar adalah perlu supaya tidak wujud percanggahan di antara sistem perundangan syariah dan sivil.

“Mahkamah mengambil perhatian bahawa perkara-perkara yang berkaitan telah disentuh dan diberi keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, iaitu membatalkan pertuduhan yang dikemukakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi).

“Oleh itu, selepas mengambil kira keadaan tertuduh dan kemudaratan yang terpaksa ditanggung, mahkamah melepas tanpa membebaskan Nik Raina daripada tuduhan dan pihak pendakwa boleh mendakwa semula jika dibenarkan,” katanya.

Terdahulu, Pendakwa Syarie daripada Jawi, Zainor Rashid Hassin memohon kes ditangguhkan kepada tarikh lain berikutan Jabatan Peguam Negara telah memfailkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan pertuduhan ke atas Nik Rania.

Bagaimanapun, peguam syarie, Rosli Dahlan yang mewakili tertuduh menegaskan adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa untuk mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta permohonan untuk menangguhkan kes hanya akan mewujudkan pertembungan bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil di negara ini.

“Selain itu, tiada sebarang permohonan kebenaran merayu dikesan di mahkamah tertinggi (Mahkamah Persekutuan), jadi perintah untuk menangguhkan kes tanpa sebarang rayuan difailkan adalah terpesong.

“Saya memohon budi bicara mahkamah supaya setidak-tidak­nya melepas tanpa membebaskan anak guam saya supaya tidak berlaku penindasan sekali gus tekanan yang dihadapi olehnya selama tiga tahun ini dapat dikurangkan,” ujar Rosli.

Nik Raina yang ketika kejadian merupakan Pengurus Stor Kedai Buku Borders cawangan The Gardens Mall, Mid Valley City didakwa mengedar buku karangan Irshad Manji berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta yang bertentangan dengan undang-undang Islam di kedai buku tersebut pada 23 Mei 2012.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 13 (1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memutuskan tindakan pegawai Jawi menyerbu, menggeledah dan merampas buku kontroversi itu ketika kejadian adalah tidak sah, melanggar undang-undang dan terbatal kerana dilakukan sebelum Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengeluarkan sebarang perintah larangan berhubung buku itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Mahkamah Tinggi pada 22 Mac 2013 turut membenarkan perintah bagi mengetepikan keputusan menghadapkan Nik Raina ke Mahkamah Tinggi Syariah kerana mengedar buku berkenaan yang didakwa melanggar hukum syarak diikuti dengan keputusan sama oleh Mahkamah Rayuan pada 30 Disember tahun lalu.