Latarbelakang Penubuhan

 

Latarbelakang Penubuhan Jabatan

23 DISEMBER 1977 Menjadi Tarikh keramat dalam perkembangan undang-undang Islam Di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1977 yang mana melalui Enakmen ini yang Dipertua Negeri Sabah telah Diberi Kuasa untuk Menubuhkan Mahkamah Syariah.

Buat pertama kalinya dalam sejarah apabila  Mahkamah Syariah mula beroperasi Di Sabah seiring dengan perlantikan Qadi-qadi Mahkamah pada 1 Febuari 1978. Dengan kuasa yang diberi enakmen tersebut, yang dipertua negeri sabah telah melantik Datuk Hj. Ahmad Bin Idris sebagai Qadi Besar pertama Negeri Sabah Dan seorang Qadi bagi setiap Residensi yang ditetapkan. Terdapat 5 Residensi Mahkamah Syariah bagi seluruh Sabah yang terdiri dari Pantai Barat Kota Kinabalu,Pedalaman,Kudat,Sandakan Dan Tawau.

Di Awal Penubuhannya, Struktur Organisasi  Mahkamah Syariah  Terdiri dari 3 peringkat iaitu Mahkamah Qadi,Mahkamah Qadi besar dan Mahkamah Rayuan Syariah. Mahkamah Qadi dan Mahkamah Qadi Besar diberi kuasa sebagai Mahkamah mula Bicara dengan BidangKuasa yang berbeza. Mahkamah Rayuan Syariah pula berperanan untuk mendengar dan memutuskan kes-kes yang dirayu dari Mahkamah Qadi atau Mahkamah Qadi Besar.

Struktur Organisasi Mahkamah Syariah kemudiannya disusun semula melalui pindaan enakmen tersebut pada Tahun 1981 dengan masih mengekalkan tiga peringkat Mahkamah iaitu Mahkamah Qadi,Mahkamah Qadi Bahagian dan Mahkamah Rayuan Syariah. Pindaan tersebut telah memansuhkan Mahkamah Qadi Besar dan mewujudkan Mahkamah Qadi Bahagian. Ini bermakna, Mahkamah Qadi Bahagian  telah mengambil-alih bidangkuasa yng sebelum ini diberikan kepada Mahkamah Qadi Besar. Qadi Besar pula dilantik sebagai  Yang Dipertua Mahkamah Syariah Negeri Sabah dan tidak lagi membicarakan kes-kes diperingkat Mahkamah mula Bicara.Qadi besar hanya mendengar kes Rayuan bersama 2 Orang Ahli Panel.

Struktur Organisasi Mahkamah Syariah berubah sekali lagi dengan adanya enakmen Mahkamah Syariah 1992. 3 Peringkat Mahkamah masih dikekalkan, Namun diubah kepada Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tingi Syariah Dan Mahkamah Rayuan Syariah. Gelaran Qadi Pula telah di mansuhkan dan digantikan dengan gelaran dan jawatan Hakim Syarie.

Berkuatkuasa 1 Disember 1995, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah ditubuhkan dengan Diketuai oleh seorang Ketua Hakim Syarie Negeri dan di letakkan dibawa kawalan Jabatan Ketua Menteri(JKM). Kelahiran JKSNS telah mengambil-alih tugas mentadbir Mahkamah-mahkamah Syariah dari Majlis Ugama Islam Sabah(MUIS) sepenuhnya bermula  1hb. Januari. 1996.

 

Pada 19hb Jun 2008, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) telah melakar  Sejarah apabila memasuki skim perkhidmatan gunasama Pegawai Syariah  Persekutuan menjadi Negeri yang Ke-7 Memasuki skim tersebut selepas Selangor, Melaka, Perlis, Wilayah Persekutuan danPulau Pinang.

Di awal penubuhannya, Jabatan ini berpejabat di Bangunan Mahkamah Syariah Wisma MUIS yang juga menempatkan Mahkamah Rendah Syariah Bahagian Pantai Barat di Kota Kinabalu. Jabatan ini kemudiannya berpindah ke Tingkat 2, Bangunan USIA Jalan Sembulan di Kota Kinabalu pada tahun 1998 – 2009 dan pada tahun 2010 telah berpindah ke tingkat 2 di bangunan Wisma Muis Sehingga sekarang.