Perutusan Ketua Hakim

 

Assalamualaikum dan Salam sejahtera………

Segala pujian kepada Allah Yang Maha Kuasa, Selawat dan Salam ke atas Nabi Junjungan Muhammad SAW serta salam takzim kepada seluruh umat muslimin dan muslimat.

Alahamdulilah dengan rahmat dan Izin-Nya sekali lagi kita sama-sama dapat berkongsi maklumat serta infomasi mengenai Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dengan idea dan kerjasama yang erat daripada warga Jabatan. Tahniah juga saya ucapkan kepada sidang redaksi dan semua kakitangan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberi maklumat untuk menghasilkan Laman Rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan memberi peluang kepada masyarakat umum untuk mengetahui fungsi dan peranan sebenar Jabatan ini.

Melalui ruangan ini, saya menyarankan kepada seluruh warga jabatan agar memberi perkhidmatan yang mesra kepada pelanggan memandangkan masyarakat islam pada hari ini semakin peka terhadap hak-hak mereka. Bantulah mereka dengan cara memberi perkhidmatan yang ikhlas dan adil agar Mahkamah Syariah dapat dilihat sebagai sebuah agensi kerajaan yang berwibawa. Kelemahan dan kekurangan bukanlah satu halangan dan alasan untuk kita tidak melaksanakan sesuatu tugas dengan baik, malahan jika kita bijak menanganinya, matlamat yang kita inginkan tetap akan tercapai.

Saya juga berharap kita sedaya upaya dapat mengurangkan rungutan dan ketidakpuasan hati pelanggan terhadap urusan yang lambat terutamanya di kaunter-kaunter mahkamah kerana ia hanya akan menjatuhkan imej dan prestasi Jabatan. Semua perjalanan kes mahkamah syariah hendaklah dilaksanakan dengan sistematik dan penuh keadilan. Saya juga berharap Mahkamah Syariah dapat menjadi badan perundangan yang dihormati bertunjangkan al-quran dan as-sunnah.

Akhir sekali, saya mendoakan seluruh warga JKSNS serta semua muslimin dan muslimat sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan oleh Allah SWT dalam menjalankan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.

sekian dan wassalam.

Y.A.A DATUK JASRI @ NASIP BIN MATJAKIR

Ketua Hakim Syarie Negeri

“SYARIAH ASAS KEADILAN”