Perutusan Ketua Hakim
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
Assalamualaikum dan Salam sejahtera.
Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, serta salam takzim kepada seluruh umat muslimin dan muslimat.

Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran dan rasa rendah hati, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan perutusan kepada seluruh warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah serta masyarakat seluruhnya.
Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal perundangan Islam, kita berperanan memastikan bahawa keadilan Islam terus ditegakkan selaras dengan prinsip Al-Quran dan As-Sunnah. Mahkamah Syariah bukan sekadar sebuah badan perundangan, tetapi juga pusat rujukan masyarakat dalam menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan hukum syarak selaras dengan bidangkuasa yang diperuntukan dalam undang-undang.
Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua kakitangan jabatan yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Kerjasama dan kecekapan anda semua adalah tonggak kejayaan institusi kehakiman kita.
Sebagai Ketua Jabatan, saya menyeru agar kita terus berusaha meningkatkan kecekapan dalam pengurusan kes, memperkukuhkan integriti dalam menjalankan tugas, serta memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat adalah telus dan berkesan. Dengan kemajuan teknologi masa kini, kita juga perlu bergerak seiring dalam memperkasakan sistem kehakiman yang lebih efisien dan mesra pengguna.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama berdoa agar Allah SWT terus memberkati usaha kita dalam menegakkan keadilan dan kebenaran. Semoga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah terus maju dan berperanan sebagai institusi yang unggul dalam bidang perundangan Islam.
Sekian, terima kasih.
Ketua Hakim Syarie Negeri
“SYARIAH ASAS KEADILAN”