Pengkelasan Kes Jenayah

Tidaklah sebagaimana Mahkamah Sivil, bidang kuasa jenayah bagi Mahkamah Syariah adalah ‘dikurniakan’ oleh Perlembagaan Persekutuan. Bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun ditentukan oleh Akta Mahkamah Syariah Bidang kuasa Jenayah 1965 (Pindaan 1984). Iai memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah boleh menjatuhkan hukuman maksimum RM5000.00 denda, ataupun penjara maksimum 3 tahun ataupun sebatan 6 kali ataupun gabungan antara hukuman-hukuman berkenaan.


Semua kesalahan dan hukuman yang disebutkan ini adalah termasuk di dalam konsep takzir yang ditentukan oleh Islam dalam konteks kes-kes jenayah.


Dalam konteks Mahkamah Syariah di Malaysia, kesalahan-kesalahan jenayah syariah ini boleh dilihat peruntukannya di dalam tiga tempat:

  1. Kesalahan-kesalahan yang diperuntukkan di bawah Undang-undang Pentadbiran Agama Negeri-negeri,
  2. Kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen/Ordinan/Akta Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri, dan
  3. Kesalahan-kesalahan di bawah Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang secara khususnya memberikan peruntukan berkaitan dengan jenayah berkenaan.

Kesalahan-kesalahan yang berada di tempat yang ketiga ini juga turut melibatkan kesalahan jenayah syariah matrimoni seperti poligami tanpa izin mahkamah dan perceraian dilakukan di luar mahkamah.

Sehubungan dengan ini, Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan telah membentuk beberapa kategori jenayah yang tertentu, iaitu:

  1. Kesalahan berkaitan akidah seperti menyebarkan doktrin palsu dan takfir.
  2. Berhubung dengan kesucian agama Islam dan institusinya seperti menghina perkara-perkara yang berkait dengan agama, pihak berkuasa agama, fatwa, ingkar perintah mahkamah, berjudi, minum arak dan minuman yang memabukkan, tidak menghormati bulan Ramadan, tidak menunaikan solat Jumaat dan tidak membayar zakat atau fitrah.
  3. Berhubung dengan kesusilaan seperti sumbang mahram, pelacuran, hubungan jenis, khalwat, lelaki berlagak seperti pondan dan perlakuan tidak sopan di khalayak awam.
  4. Kesalahan pelbagai seperti membawa lari wanita yang sudah bersuami, menghalang pasangan yang telah bernikah daripada menjalani kehidupan sebagai suami isteri, menghasut suami isteri supaya bercerai atau meninggalkan kewajipan, menjual atau memberi anak kepada bukan Islam, qazaf (menuduh zina), mengutip zakat tanpa kebenaran dan menyalahgunakan tanda halal.