KUNJUNGAN HORMAT YB HAJI ARIFIN BIN DATUK HJ MOHD ARIF KE KOMPLEKS MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SABAH


9 Januari 2024 (Selasa) - Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah menerima kunjungan YB Datuk Hj Mohd Arifin bin Datuk Hj Mohd Arif Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga merangkap menteri bertanggungjawab berkenaan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah. YB Menteri telah disambut oleh YAA Tuan Ahadin bin Arinen, Ketua Hakim Syarie Negeri, diiringi Hakim Kanan Tuan Nawawi bin Diman, Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar, Tuan Mohd Yusuf Nureddin, Pendaftar berserta pegawai-pegawai kanan jabatan.


Majlis dimulakan dengan taklimat ringkas oleh YAA Ketua Hakim Syarie Negeri berkenaan dengan laporan pendaftaran dan penyelesaian kes mal dan jenayah, produk- produk JKSNS seperti Fast Track Syariah dan Easy Sulh, perkembangan Undang-Undang Syariah di Negeri Sabah terkini bermula dengan pindaan dengan memasukkan Seksyen 28(A) Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang memberi kuasa kepada Ketua Hakim Syarie Negeri mengeluarkan Arahan atau Arahan Amalan berhubung pentadbiran, penjalanan atau Tatacara Mahkamah Syariah pada 22 Julai 2022. Diikuti dengan pindaan beberapa Enakmen antaranya Seksyen 8 9,9A, 9B, 9C,9D,12, 19A dan 20, Enakmen Wakaf 2018 pada Mei 2023, Seksyen 99 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah pada 9 Ogos 2023, Seksyen 2,6A,16,20,28,31,52,109 dan 135A pada Ogos 2023, Seksyen 11 dan 12 Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sabah pada November 2023 dan Seksyen 2,4,4A, 6,8,8A, 11 dan 12 pada November 2023. Selain dari itu, Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Sulh) Negeri Sabah telah telah diwarta dan berkuatkuasa pada 18 Oktober 2023.




YAA Ketua Hakim juga memaklumkan kepada YB Menteri tiga (3) Rang Undang-Undang Syariah induk (Enakmen) yang menunggu untuk dibentangkan iaitu Enakmen Pengangkatan Orang Islam, Enakmen Perwarisan Harta Pusaka Orang Islam dan Enakmen Mahkamah Syariah Negeri Sabah bagi penubuhan Mahkamah Utama Syariah (Mahkamah Tertinggi Syariah) di Sabah. Tiga Undang-Undang ini jika berjaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri bakal memberikan impak besar kerana dua daripada Enakmen tersebut merupakan enakmen pertama seumpamanya di Malaysia iaitu Enakmen Pengangkatan Orang Islam dan Enakmen Perwarisan Harta Pusaka Orang Islam. Manakala Sabah akan menjadi negeri kedua mewujudkan Mahkamah utama dalam tingkat mahkamah syariah di Malaysia.

YB Menteri juga telah menyatakan persetujuan bagi pewartaan pemakluman/pemberitahuan Kaedah-Kaedah Fi, Kos dan Elaun Mahkamah Syariah Negeri Sabah adalah terpakai bersesuaian dengan Enakmen Aktiviti Kerajaan Eletronik Sabah 2014 yang membolehkan pembayaran fi, kos dan elaun dibuat secara eletronik tanpa tunai.

YAA Ketua Hakim Syarie juga menyatakan hasrat untuk menambah baik kemudahan perkhidmatan Mahkamah Syariah kepada rakyat dengan mewujudkan mahkamah syariah bergerak, cadangan penambahan kakitangan secara kontrak di Mahkamah-Mahkamah Syariah daerah seluruh negeri dan penerbitan jurnal alasan penghakiman syariah dan penulisan syariah secara berkala.


YB Menteri dalam ucapan balasnya amat menyambut baik,menyokong sepenuhnya serta mengucapkan syabas atas usaha-usaha yang telah dan bakal dilaksanakan Jabatan Kehakiman Syariah Sabah bagi usaha menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada orang islam di negeri ini dalam membantu melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri yang diketuai YAB Ketua Menteri.

Beliau mendoakan agar kakitangan JKSNS diberikan kekuatan dalam menjayakan misi dan visi jabatan bagi tahun baru 2024 dan tahun-tahun mendatang. Majlis diakhiri dengan lawatan ke setiap tingkat kompleks mahkamah dan minum petang.