MAJLIS WATIKAH PERLANTIKAN KETUA HAKIM SYARIE NEGERI DAN HAKIM MAHKAMAH TINGGI SYARIAH NEGERI SABAH
27 Februari 2024, bersamaan dengan 17 Syaaban 1445H (Selasa)
Kota Kinabalu - Peristiwa bersejarah telah terukir pada hari ini, sebuah majlis penyerahan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Haji Mahiruddin bertempat di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, Sabah.
Antara tetamu kehormat yang hadir bagi menyaksikan peristiwa bersejarah ini adalah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor( Ketua Menteri Sabah), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama & Exco Pendidikan), Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong (Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah), Datuk Haji Ruslan bin Haji Muharam (Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri), Datuk Seri Panglima Haji Yahya bin Hussin (Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Sabah) dan Yang Amat Arif Dato’ Haji Mohd Amran bin Mat Zain (Ketua Pengarah JKSM/Ketua Hakim Syarie Malaysia)
Penerima watikah pelantikan bagi majlis ini adalah YAA Tuan Ahadin bin Arinen sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah dan dua orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah, YA Puan Surayah binti Ramlee dan YA Puan Taherah binti Tahir.
Langkah ini merupakan satu peristiwa penting dalam mengukuhkan institusi mahkamah syariah di Negeri Sabah, dengan harapan semoga keadilan terus ditegakkan. Semoga perjalanan ini akan memberikan manfaat kepada masyarakat dan memperkukuh kestabilan sistem keadilan di Negeri ini.