MAJLIS PERPISAHAN PUAN ROSMAWANI BINTI MAT DESA DAN PUAN NOR AZIMATUL HAZWANA BINTI MODLI

1 Mac 2024 (Jumaat) - Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah mengadakan majlis ringkas meraikan perpisahan Puan Rosmawani binti Mat Desa yang berpindah tugas ke Semenanjung Malaysia dan Puan Nor Azimatul Hazwana binti Modli yang mendapat tawaran berkhidmat di Jabatan Bantuan Guaman gred LS41.

Majlis dihadiri oleh YAA Tuan Ahadin Bin Arinen, Ketua Hakim Syarie Negeri, Puan Surayah Binti Ramlee, Ketua Pendaftar Tuan Abdul Hakim bin Bisri, Hakim Mahkamah Rendah, pegawai-pegawai kanan, penolong-penolong pegawai dan kakitangan JKSNS.

YAA Ketua Hakim Syarie Negeri, Puan Ketua Pendaftar, Wakil Mahkamah Rendah Syariah dan Wakil Unit Sulh dalam ucapan masing-masing mengucapkan syabas dan tahniah di atas prestasi kerja yang cemerlang kedua figura yang diraikan serta mendoakan kesihatan, keafiyatan serta kejayaan buat kedua-duanya.

Dalam ucapan balas oleh Puan Rosmawani, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih di atas usaha jabatan meraikan beliau meskipun dalam majlis yang serba ringkas tapi amat bermakna serta mohon didoakan sentiasa akan kesejahteraan beliau sekeluarga.

Puan Nor Azimatul Hazwana pula merakamkan ucapan terima kasih diatas pengalaman yang ditimba sepanjang berkhidmat di jabatan dan mohon agar laluan kerjayanya diberikan kemudahan.

Untuk rekod, Puan Rosmawani binti Mat Desa telah berkhidmat di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sejak 2012, sebelum itu beliau pernah bertugas di Jabatan Bantuan Guaman dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan sebelum berpindah ke Sabah. Sepanjang perkhidmatan beliau di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu, beliau telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang sekalipun berdepan dengan masalah kesihatan dan dikenali sebagai seorang yang amat pemurah.

Manakala, Puan Nor Azimatul Hazwana binti Modli pula merupakan kakitangan yang menyertai program pekerjaan jangka pendek kerajaan Malaysia bermula tahun 2023. Sepanjang perkhidmatan beliau di Mahkamah Rendah Syariah Kota Kinabalu, beliau telah menunjukkan komitmen kerja tinggi serta berjaya menyiapkan setiap tugasan yang diamanahkan.

Majlis diakhiri dengan penyerahan cenderamata kepada yang diraikan dan minum petang.