PROGRAM GOTONG ROYONG MEMASAK BUBUR LAMBUK SEMPENA RAMADHAN

14 Mac 2024 (Khamis) - Ibu Pejabat Jabatan Kehakiman Syariah dengan kerjasama Syarikat Adabi Sabah Distribution Sdn Bhd telah berjaya mengadakan gotong-royong memasak bubur lambuk yang merupakan acara tahunan dan masuk tahun ketiga penganjurannya. Dalam majlis pengagihan bubur lambuk serba ringkas yang dihadiri YAA Tuan Ahadin Arinen, Ketua Hakim Syarie Negeri, Encik Muhammad Zahari bin Muhammad Nasir, Pengurus Besar Adabi Sabah, Tuan Mohd Yusuf bin Nureddin, pendaftar, Tuan Nurul Husny bin Ali Akbar pegawai penyelidik, Puan Nursyafiah binti Sulaiman, Pegawai Sulh, Puan Nurul Atika binti Abd Samad Penolong Pegawai Tadbir, pegawai-pegawai, kakitangan setiap unit, Bahagian Sokongan Keluarga, kakitangan Mystep dan pelajar dalam industri.

Dalam ucapan aluannya, Ketua Hakim Syarie mengucapkan tahniah dan penghargaan di atas komitmen serta semangat kesukarelaan dan kebersamaan yang ditunjukan oleh kakitangan jabatan yang sudi sama-sama sehingga berjaya menyediakan sehingga 700 pek bubur lambuk pada tahun ini.

Sementara Encik Muhammad Zahari bagi pihak Adabi dalam ucapan balasnya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas inisiatif konsisten JKSNS menjemput pihak Adabi menjayakan program kali ketiga bagi tahun ini dengan menyediakan ruang memasak yang selesa dan luas. Beliau berkongsi resepi bubur lambuk adabi di Sabah merupakan resepi istimewa yang diolah 12 tahun lepas dan kualiti rasanya berdasarkan maklum balas amat memuaskan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengagihan bubur lambuk kepada wakil-wakil unit, pihak pembersihan dan kepada pihak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebelum bersurai.

Semoga program seperti ini dapat mengeratkan lagi tali silaturrahmi, kesukarelawan dan kebersamaan dikalangan warga ibu pejabat jabatan. Moga Allah menerima usaha kecil ini sebagai amal jariah yang berkekalan disisiNya.