KUNJUNGAN HORMAT KETUA HAKIM SYARIE NEGERI SABAH KE IBU PEJABAT POLIS KONTINJEN SABAH

KOTA KINABALU 26 Jun 2024 – Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah YAA Tuan Ahadin bin Arinen telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.

Kunjungan hormat ini diketuai oleh YAA Tuan Ahadin bin Arinen, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah dan disertai oleh YA Tuan Ade Rizal Pahlevi bin Mohd Zen, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Sandakan serta 4 orang pegawai yang terdiri daripada Pendaftar, Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan Pegawai Penyeidik. Rombongan telah disambut oleh Datuk Jauteh Dikun, Pesuruhjaya Polis Sabah bersama 4 orang pegawai kanan PDRM.

Kunjungan ini bertujuan mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada di antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia. YAA Tuan Ahadin bin Arinen telah menzahirkan aprisiasi terhadap PDRM di atas komitmen padu dalam menjayakan Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah pada 6 September 2023 yang lalu serta pelaksanaan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.

Antara intipati perbincangan adalah mengenai keperluan penempatan anggota polis di Kompleks Mahkamah Syariah Sabah dan Mahkamah Syariah Daerah, isu berkaitan perkahwinan, status agama dan juga harta pusaka.

Perbincangan telah berjaya menghasilkan input yang positif dan kedua-dua agensi bersedia untuk memberikan kerjasama padu di dalam menjayakan sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Kunjungan diakhiri dengan YAA Tuan Ahadin bin Arinen menandatangani buku pelawat dan penyampaian cenderahati.