BENGKEL PINDAAN KAEDAH-KAEDAH TATACARA MAL MAHKAMAH SYARIAH FI, ELAUN DAN KOS, 2021

KOTA KINABALU 24 Julai 2024 (Rabu) - Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah mengadakan Bengkel Pindaan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah Fi, Elaun Dan Kos, 2021 pada 23-24 Julai 2024 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah.

YAA Tuan Ahadin Arinen, Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah telah berkenan menyampaikan perutusan sebelum bengkel dimulakan. YAA Ketua Hakim Syarie di dalam perutusannya berkata, pelaksanaan fi terhadap urusan di Mahkamah Syariah Negeri Sabah yang telah bermula semenjak 2 Mei 2023 telah banyak memberi impak yang positif kepada jabatan secara khususnya dan sekaligus memberi pengalaman kepada seluruh kakitangan dalam mengendalikan proses kerja berkaitan dengannya. YAA Ketua Hakim Syarie juga turut menzahirkan penghargaan di atas komitmen dan kebersamaan semua ahli yang hadir dalam menyumbang idea bagi mengkaji pindaan ini.

Objektif bengkel ini diadakan adalah bagi mengkaji dan meminda kadar fi yang telah ditetapkan dalam usaha menyesuaikan dengan perkembangan undang-undang syariah terkini di negeri Sabah iaitu penubuhan Mahkamah Utama Syariah Negeri Sabah yang telah diluluskan melalui Enakmen Mahkamah Syariah negeri Sabah tahun 2024 pada 10 Julai 2024 di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Bengkel telah dikendalikan oleh Tuan Mohd Yusuf bin Nureddin, Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah dan disertai oleh beberapa orang pegawai yang terdiri daripada Hakim Syarie, Pegawai Penyelidik dan Timbalan/Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah.