DIALOG HARMONI MAHKAMAH SYARIAH DAERAH TAWAU BERSAMA AGENSI KERAJAAN

TAWAU 02hb Julai 2024 (Jumaat) - Mahkamah Syariah Tawau telah mengadakan Dialog Harmoni bersama beberapa agensi bertempat di Bilik Mesyuarat, MSD Tawau yang dipengerusikan sendiri oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Tawau - Yang Arif Puan Taherah binti Tahir. Turut hadir ialah Hakim Mahkamah Rendah Syariah Tawau - Tuan Mohd Haslan bin Hassan, Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Tawau - Tuan Fairul @ Khairuddin bin Mat Sulaiman serta Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Tawau - Puan Dayang Mazrina binti Mohd Arifend.

Dialog Harmoni ini diadakan dalam dua sesi berlainan iaitu sesi pagi yang bermula pada jam 8.30 hingga 11.30 pagi dan sesi petang yang bermula sekitar 2.30 hingga 5 petang. Dialog sesi pagi adalah bersama agensi-agensi beruniform yang terpilih iaitu Jabatan Penjara Malaysia Daerah Tawau, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Tawau dan Angkatan Tentera Malaysia. Manakala dialog sesi petang terdiri daripada agensi biasa iaitu Jabatan Imigresen Malaysia Daerah Tawau, Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Tawau dan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah Daerah Tawau.

Tujuan dialog ini diadakan untuk berkongsi prosedur dan proses kerja pengurusan kes di Mahkamah Syariah yang terkait dengan prosedur dalam agensi yang dijemput. Selain itu ia juga untuk mengukuhkan lagi kerjasama serta jalinan sesama agensi masing-masing. Bukan itu sahaja, tujuan dialog ini boleh menjadi satu inisiatif dan platform daripada Mahkamah Syariah Tawau untuk mendapatkan info terkini daripada agensi yang dijemput dan memanjangkan input-input tersebut kepada Ibu Pejabat, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sebagai makluman dan panduan dalam mengharmonikan lagi kesefahaman tersebut pada masa-masa akan datang.