MUZAKARAH ARAHAN AMALAN BORNEO 2025: DARI "BLUR" JADI "POWER"

Jangan terkejut kalau ada yang kata Mahkamah Syariah sekarang dah macam ‘syarikat korporat’. penampilan kemas, urusan teratur, sistem canggih dan paling penting, pegawai makin hebat!  

Itulah antara semangat yang dibawa dalam Muzakarah Arahan Amalan Borneo yang berlangsung pada 6-7 Mei 2025 di di Hotel Pan Borneo, Kota Kinabalu. Program ini bukan sekadar sesi dengar taklimat sambil angguk-angguk, tapi ia jadi medan 'turun padang' untuk melatih, memperjelas dan menyelaraskan kefahaman semua pegawai Mahkamah Syariah di Sabah dan Sarawak mengenai pelaksanaan 7 Arahan Amalan yang telah diendorsekan pada tahun 2024 di seluruh Malaysia yang disampaikan oleh Puan Maria Jilani.

Menurut penganjur, objektif muzakarah ini mudah saja, supaya tiada lagi istilah “lain mahkamah, lain gaya”, “eh, tempat kami tak buat macam ni pun”, atau paling kelakar, “kami tak tau pun ada arahan tu”. Macam kita beli barang IKEA, kalau tak baca manual, silap-silap rak jadi kerusi, nanya pak karim… Begitulah hal keadaannya. Kalau semua arahan dan garis panduan dipatuhi secara seragam, bukan saja memudahkan kerja pegawai, tapi paling penting, ia beri manfaat besar kepada masyarakat yang terlibat dalam kes Syariah. Tak kiralah kes cerai, tuntutan nafkah, hak jagaan anak, semua ini menyentuh emosi dan kehidupan sebenar rakyat. Jadi, bila pegawai Mahkamah kita ‘on track’, urusan masyarakat juga akan jadi lebih efisien dan adil.

Muzakarah ini juga secara tak langsung menjawab tanggapan segelintir pihak yang kononnya Mahkamah Syariah ‘tak pandai urus’. Eh, bukan tak pandai, tapi kita latih semua pegawai supaya mereka lebih faham, lebih bersedia, dan lebih cekap. Kalau dulu ada kelemahan, sekarang kita baiki. Bak kata orang kampung, “kalau lori sangkut, jangan salahkan enjin, mungkin pemandu belum ikut kursus!” Impaknya? Rakyat akan mula lihat Mahkamah Syariah sebagai institusi yang profesional, dipercayai, dan benar-benar menjaga kebajikan ummah. Tak ada lagi kes tertangguh berbulan-bulan sebab dokumen tak lengkap atau prosedur berbeza ikut negeri. Semuanya akan jadi lebih telus, mudah difahami dan cepat selesai.

Jadi kalau satu hari nanti anda hadir ke Mahkamah Syariah dan tengok proses semakin berjalan lancar, jangan lupa, itu hasil kerja keras pegawai kita yang dah ‘turun muzakarah’ dan belajar sampai faham luar dalam. Dan kalau ada yang bertanya, “eh, macam mana Mahkamah Syariah sekarang lagi lebih mantap ya?” jawapannya senang: “Kami dah upgrade bosku!”