TEMUDUGA PEGUAM SYAR'IE NEGERI SABAH KALI KEDUA 2025

Kota Kinabalu | 13 Jun 2025: Seramai 7 orang calon terdiri dari 2 orang calon lelaki dan 5 orang calon wanita telah hadir ke sesi Temu Duga Peguam Syar’ie Negeri Sabah pada hari ini di Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Sabah. Kesemua calon yang dipanggil temu duga ini telah berjaya menyempurnakan sesi pelatihan dalam kamar selama 12 bulan di firma guaman syar’ie dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Temu duga telah dimulakan seawal jam 8.30 pagi hingga jam 11.00 pagi dan sesi petang dimulakan seawal jam 2.00 petang hingga 4.30 petang. Sesi temu duga ini merupakan siri kedua bagi tahun 2025 yang telah dilaksanakan secara bersemuka di hadapan 3 orang panel penemu duga yang merupakan Ahli Jawatankuasa Khas Peguam Syar’ie Negeri Sabah.

Panel penemu duga diketuai oleh Puan Surayah binti Ramlee, Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah merangkap Setiausa Jawatankuasa Khas Peguam Syar’ie Negeri Sabah dan dibantu oleh 2 orang panel iaitu Tuan Mohd Ridhuan bin Othman, Ketua Pendakwa Syar’ie Negeri Sabah dan Puan Nooryasmensharini binti Abas, Pegawai Penyelidik Pejabat Ketua Hakim Syar’ie Negeri Sabah serta barisan urus setia bertugas.

Temu duga yang dilaksanakan adalah merupakan salah satu prosedur yang wajib dilalui oleh individu yang berhasrat menjadi Peguam Syar’ie di Negeri Sabah berdasarkan Kaedah-kaedah Peguam Syar’ie (Negeri Sabah) Tahun 2021. Calon-calon yang berjaya serta lulus temu duga selepas ini adalah layak melalui proses saringan terakhir sebelum diterima masuk sebagai Peguam Syar’ie melalui suatu prosiding pendengaran di hadapan Yang Amat Arif Ketua Hakim Syar’ie Negeri Sabah dengan kehadiran Peguam Besar Negeri ataupun wakil dalam prosiding tersebut.

Laporan disediakan oleh:
Tuan Mohd Hafiidz Bin Azman
AJK Kecil Temuduga Peguam Syar'ie JKSNS