KUNJUNGAN HORMAT YAYASAN PEMBANGUNAN EKONOMI ISLAM MALAYSIA (YaPEIM)
Kota Kinabalu | 13 JUN 2025: Jumaat-Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah telah menerima kunjungan hormat rombongan dari Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) cawangan Sabah yang diketuai oleh Tuan Selabi bin Mohammad, Ketua Seksyen Penyeliaan YaPEIM Negeri Sabah dan Sarawak berserta pegawai kanan dan unit kewangan YaPEIM. Pihak jabatan pula diketuai oleh YAA Datuk Ahadin bin Arinen, Ketua Hakim Syarie diiringi pegawai-pegawai kanan penyelidikan, sulh, pentadbiran dan kewangan jabatan.
Kunjungan hormat bertujuan untuk memperkenalkan produk-produk terbaharu YaPEIM dalam usaha membantu ekonomi bukan sahaja umat islam tetapi bukan islam meningkatkan sosio ekonomi dan tahap pendapatan mereka agar boleh berkembang dan maju ke hadapan. Untuk rekod, seramai 30 kakitangan jabatan telah membuat potongan gaji untuk disalurkan kepada pihak YaPEIM. Dalam ucapan aluan, pihak YaPEIM mengucapkan penghargaan dan berterima kasih di atas kesudian YAA Datuk Ketua Hakim Syarie menerima kunjungan mereka sekaligus mempromosikan produk-produk terbaharu YaPEIM.
YAA Datuk Ketua Hakim Syarie pula mengalu-alukan kehadiran rombongan YaPEIM dan telah bersetuju untuk pihak YaPEIM mengadakan taklimat mempromosikan peranan dan produk-produk YaPEIM demi kebaikan rakyat Malaysia dan berharap lebih ramai kakitangan jabatan menyumbang kepada YaPEIM melalui potongan gaji atau lain-lain cara sumbangan. Majlis diakhiri dengan lawatan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan pertukaran cenderamata.
Laporan disediakan oleh:
Nursyafiah binti Sulaiman
Pegawai Penyelidik
JKSNS